Assalamualaikum dan salam sejahtera
Nilai RM100 Kita Berbeza RM100…Di pusat beli-belah mewah, ia mungkin hanya cukup untuk satu hidangan makan malam.Di pasar mini , ia boleh penuhkan satu bakul dengan barangan dapur harian. Tapi di hadapan tabung masjid, RM100 terasa berat untuk dilepaskan dari genggaman. Hati mula berkira-kira, “Banyak ni kalau derma…”
Sebenarnya, nilai RM100 itu tak pernah berubah. Yang berubah cuma bagaimana kita melihatnya dan di mana kita berdiri ketika menilainya.Bagi orang yang pernah melalui kesusahan, RM100 boleh jadi harapan.Bagi yang sedang berada, RM100 mungkin sekadar duit minyak atau bayaran parking. Namun bagi si kecil yang lapar,bagi si ibu tunggal yang kais pagi makan pagi, bagi pusat tahfiz yang bergelap kerana tiada dana elektrik, RM100 itu sangat besar nilainya.
Hakikatnya, rezeki yang kita genggam hari ini… bukan semuanya milik kita. Ada bahagian yang Allah titipkan, untuk kita salurkan kepada yang memerlukan. Bukan soal jumlah, tapi soal keikhlasan. Kerana tangan yang memberi itu… tak pernah rugi. Kita yang menerima, akan ditanya, adakah kita mensyukuri, atau mengkufuri..
Semoga setiap sen yang kita belanjakan dan yang kita infaqkan, diberkati dan digandakan oleh Allah SWT.





































