Assalamualaikum dan salam sejahtera
Certot : Lemon Adik aku ni badannya besar. Bagi aku, dia taklah besar sangat pun. Tapi mungkin sebab hari tu dia balik rumah menangis-nangis kena ejek dengan kawan sekelas, dia pun berazam nak kurus. Ada satu malam tu, aku nampak dia makan lemon. MAKAN! Bukan minum jus lemon. Dia potong nipis-nipis dan gigit lemon tu macam tak ada perasaan. Aku yang tengok sahaja pun terasa masamnya sampai ke hujung lidah.
“Dik! Kenapa kau makan macam tu? Tak masam ke?”
Dengan wajah tak beriak, adik aku jawab, “Orang cakap makan lemon boleh kurus. Masam, tapi beauty is pain….”
Parah! Dia betul-betul terpukul dengan ejekan kawan-kawannya tu.
“Kau tak adalah gemuk sangat, dik. Tak payahlah dengar cakap kawan-kawan kau tu.”
“Tapi adik nak kurus….”
Aku peluk bahunya. Aku gosok-gosok rambutnya yang seperti sabut kelapa itu. Tak tahu nak pujuk macam mana lagi, aku bawa diri ke dalam bilik.
Besoknya, aku nampak adik keluar masuk tandas. Sampaikan ibu tak benarkan dia pergi sekolah. Dibuatnya tercirit dalam kelas, lagi parah. Aku lihat dia yang sedang terdampar di atas sofa ruang tamu.
“Kak… adik dah tak nak kurus.”
Ketawa terbahak-bahak aku dibuatnya. Penangan lemon memang hebat. Mana dia belajar makan lemon boleh kuruskan badan pun aku tak tahulah.












































