Mutiara Terhasil, Luka Jadi Nilai

 Assalamualaikum dan salam sejahtera 

Mutiara Terhasil, Luka Jadi Nilai Tiram tidak dilahirkan untuk menghasilkan mutiara. Ia bukan misi hidupnya. Ia bukan tujuan asalnya. Mutiara hanya wujud apabila tiram terganggu apabila satu benda asing seperti pasir, serpihan, atau parasit masuk ke dalam tubuhnya secara senyap. Tubuh kecil itu tidak punya senjata, tidak tahu melawan. Satu-satunya cara untuk bertahan adalah dengan melindungi diri. Maka ia mula menyelaputi ‘luka’ itu dengan lapisan demi lapisan nacre, bahan yang akhirnya menjadi mutiara. Apa yang menarik, tindak balas ini bukan sekali. Ia berulang. Hari demi hari. Minggu demi minggu. Setiap lapisan adalah tindak balas diam terhadap ketidakselesaan.


Tiram tak mengadu. Ia tak menjerit. Ia hanya bertahan dan tanpa sedar, ia mencipta sesuatu yang kemudian dianggap sebagai antara objek paling bernilai di dunia: sebutir mutiara. Mutiara bukan hasil dari nikmat. Ia bukan hasil dari keadaan sempurna. Ia wujud kerana ada gangguan. Ia tumbuh dari satu luka. Dan proses itu panjang, perlahan, dan penuh tekanan. Tapi lihat hasilnya. Kilauan yang dicari manusia, simbol kemewahan, kecantikan, dan keanggunan. Dan semuanya bermula dari satu titik yang menyakitkan.

Dalam hidup manusia juga begitu. Ada perkara yang kita tak minta, tapi datang juga. Ada kesakitan yang tak sempat kita elak. Tapi di situlah pertumbuhan berlaku. Kita belajar jadi kuat bukan masa senang, tapi masa tiada pilihan. Kita membina daya tahan bukan masa dipuji, tapi masa dilukai. Dan dalam diam, kita bertukar jadi sesuatu yang lebih kukuh, lebih halus, lebih tajam nilainya walaupun orang luar hanya nampak kilauan, bukan luka di dalam.

Mereka yang punya banyak ‘mutiara’ dalam hidup selalunya tak banyak bercerita. Mereka hanya terus melapisi luka mereka dengan akhlak, ilmu, dan amal. Dan akhirnya, hidup mereka menjadi indah bukan kerana tiada kesakitan, tapi kerana tahu bagaimana menanganinya, sebab tue kita jangan cepat anggap tekanan sebagai tanda kelemahan. Kadang, tekanan itulah isyarat awal bahawa sedang ada sesuatu yang lebih berharga sedang terbentuk di dalam, bila sampai waktunya, sebutir mutiara akan keluar dari tiram… bukan untuk kekal di dasar laut, tapi untuk dinilai oleh dunia.

MasyaAllah. Allah tak jadikan luka tanpa rahmat. Dalam tekanan yang paling kecil pun, tersembunyi hikmah yang tak terjangkau akal.

Catat Ulasan

16 Ulasan

  1. so true...setiap apa yg berlaku, pasti ada hikmah nya...

    BalasPadam
  2. MasyaAllah, deep betul! Rasa macam kena “cucuk halus” kat hati 😅 Siap rasa nak jadi tiram sekejap, sebab rupanya makin banyak luka, makin berpotensi jadi ‘bermutiara’! Terima kasih atas peringatan indah ni… lepas ni kalau stress datang, kita senyum je. mungkin tengah proses jadi mahal 😄✨

    BalasPadam
  3. Masyaa Allah, keagungan Ciptaan Tuhan ..

    BalasPadam
  4. Halus dan mendalam maksud kejadian mutiara...

    BalasPadam
  5. Baru tahu asal kejadian mutiara tu macamana. Hebat betul kejadian Allah. Suka cara CCL kaitkan dengan manusia.

    BalasPadam
  6. Hebatnya ciptaan Ilahi.

    BalasPadam
  7. Mendalam penulisan ini. Terasa di hati. Semoga kita yang terluka di atas pelbagai sebab akan terus bertabah dan jalan terus di dalam proses menghasilkan 'mutiara' yang istimewa

    BalasPadam
  8. Lar...ingatkan mutiara jadi dalam semua tiram...rupanya tidak ya....kalau ada 10 gangguan tu 10 la mutiara jadi...uniknya....

    BalasPadam
  9. MasyaAllah hebatnya ciptaan Allah sehingga kita boleh ambil hikmah darinya.

    Indah terasa setiap luka yang terhasil…walau perit, hakikatnya itulah yang paling berharga…

    BalasPadam
  10. Teringat dulu, suka baca komik mutiara naga. Hihi.

    BalasPadam
  11. deep ni CCL.. moga kita juga dpt adaptasi sifat sabar tiram dlm mghadapi ujian / tekanan..

    BalasPadam
  12. Sangat mendalam kisah tiram dan mutiara. Moga kita akan menghasilkan 'mutiara ' yg berkualiti

    BalasPadam
  13. Agree. Manusia yg tak pernah ditempa masalah, akan jadi lemah. Dia tak tahu cara bertahan hidup. Beda dengan orang yg banyak mengalami kejadian pahit semasa hidup. Luka2 yg dialami, selalu JD pembelajaran buat dia utk bangkit lagi dan jadi lebih kuat

    BalasPadam
  14. Baru tahu macam mana wujudnya mutiara itu. Sabarnya tiram tu demi kelangsungan hidupnya.

    BalasPadam
  15. Pernah baca tentang ini. Kesian pulak dengan mutiara ni.

    BalasPadam
  16. setiap apa yg berlaku, pasti ada hikmah nya.

    BalasPadam

tinggalkan komen anda kat sini. . InsyaAllah CikCappuccinoLatte akan sentiasa membalas kunjungan