Certot : Gerai Pau Jam Sepuluh

 Assalamualaikum dan salam sejahtera 

Certot : Gerai Pau Jam Sepuluh Sebuah gerai yang hanya menjual pau. Gerai itu hanya dibuka pada jam sepuluh malam hingga tengah malam. Gerai ini pernah tular dahulu, tapi sekarang popularitinya merundum. Mungkin kerana kalah bersaing pada zaman serba canggih ini. Pemiliknya pula hanya seorang lelaki tua yang sentiasa bertopi dan berkemeja putih. Bukan pemuda tampan atau Khairulaming. 

Certot, cerita Kontot, cerita pendek

Satu malam, Raihan pulang setelah penat dimarahi majikannya hari itu. Perutnya lapar, tapi dia tak ada tenaga nak masak atau makan makanan berat. Ke gerai itulah dia tuju dengan pakaiannya yang kusut-masai. Dia duduk di salah sebuah kerusi yang disediakan berdekatan dengan payung gerai itu. 

Raihan tak tempah apa-apa lagi, sebiji pau panas dihulurkan kepadanya. Orang tua itu memandang Raihan dalam senyum seraya berkata, “Inti kacang merah. Rasa manisnya akan hilangkan kesedihan kamu. Tak payah bayar. Kamu pelanggan terakhir saya hari ni. Saya nak balik dah.”

Raihan berterima kasih dengan senyuman lemah. Apa yang orang tua ini mengerti? Di gigitan pertama, Raihan terkedu. Manis…. Manis yang mengingatkan dia akan waktu pertama kali dia diterima bekerja. Juga waktu-waktu dia bersama rakan-rakan sekerja serta momen-momen mereka berjaya mendapatkan projek. Ya, kesedihan ini hanya sementara. Tiada yang sentiasa di atas. Kadangkala, dia perlu jatuh untuk tahu apa yang tidak patut diulang lagi. Raihan pulang dengan semangat baru. 

Keesokan harinya, dia ke tempat kerja. Majikannya meminta maaf dan membelanjanya makan tengah hari. Mereka berbaik. Malam itu, Raihan sekali lagi mencari gerai pau yang memberinya semangat. Tiada. Lama dia mundar-mandir. Hinggalah dia ditegur seorang pemuda yang bekerja di kedai runcit berhampiran. 

“Eh, encik biar betul? Pak Cik Selamat yang jual pau pukul sepuluh tu kan? Dia dah sebulan lebih tak berniaga. Dia jatuh bilik air, terus tak sedar. Sekarang masih di hospital.”

Raihan tergamam. Pau apa yang dia makan? Siapa yang dia jumpa? Dia mencangkung seketika. Pemuda tadi setia di sisi. Pemuda itu tiba-tiba berkata lagi, “Sebenarnya… bukan encik seorang yang cari dia. Dah ramai yang cari dia macam encik. Ada yang makan pau daging, dia jadi berani lawan pembuli. Yang makan pau kelapa, berbaik semula dengan ahli keluarga. Saya tak tahu apa yang encik-encik semua ni nampak tapi… Pak Cik Selamat tu memang baik orangnya. Kita doakan yang baik-baik untuk dia.”

Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. ahh sudahhh.... meremang dah niii

    BalasPadam
  2. Aahhh sedih pula bacanya ❤️❤️. Tapi baguus kak. Seandainya yaa ada makanan yg bisa menghilangkan kesedihan 😁

    BalasPadam

tinggalkan komen anda kat sini. . InsyaAllah CikCappuccinoLatte akan sentiasa membalas kunjungan