Memaparkan catatan dengan label CERTOT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label CERTOT. Papar semua catatan

Certot : Pelaris

 Assalamualaikum dan salam sejahtera 

Certot : Pelaris

Semenjak jalan utama ke lorong Kafe Sedap ditutup oleh pihak berkuasa tempatan, hasil jualan semakin merudum teruk. Mereka cuma berharap dengan jualan atas talian.

“Abang rasa macam nak tambah menu baru. Nasi lemak RM1. Buka juga tempahan untuk infak. Macam mana?”  Mata Nura membulat dan senyumannya melebar. “Nura setuju, bang. Bagus idea tu.” 

Mereka terus mengira kos bahan mentah dan menyiapkan bahan masakan untuk cadangan Abu esok hari. 

Sebelum pulang, seperti biasa, Nura akan ke belakang kedai untuk membuang sampah. Tanpa diduga, dia melihat satu kelibat berwarna putih bertenggek di atap kedainya. Mukanya seperti dipercikkan air dingin. Sejuk dan kaku.

“Ya Rabbi! Nura, apa yang awak termenung kat belakang ni? Puas abang cari awak,” seru Abu kaget. Nura hanya terdiam kaku di situ. Abu memapah isterinya masuk ke dalam kedai.

“Lepas ni, tak payah buang sampah. Biar abang saja yang buat. Kita balik dulu,” arah Abu. Nura hanya melemparkan pandangan kosong. 

Tiba di rumah, Puan Anim yang berasa pelik dengan kelakuan menantunya telah menasihatkan Abu supaya berjumpa dengan orang yang tahu tentang perkara ghaib. Abu hanya menganggukkan kepala. Dia berasa sangat lesu.

Keesokannya, kedai terpaksa ditutup. Puan Anim meminta bantuan Haji Jalal, kawan baik arwah suaminya. 

“Janganlah risau. Segala yang ada di muka bumi ni makhluk Allah. Takkan bergerak seinci zarah pun kalau tak diizinkan-Nya. Kita usaha pulihkan anak dan menantu kamu serta kedai mereka ya.” Lembut tutur Haji Jalal. Menurut hematnya, ada yang ingin menguji kekuatan tahap ilmu hitam terhadap keluarga itu.

“Abang Haji buatlah apa yang patut,” balas Puan Anim sayu. Seperti yang dijangka, Haji Jalal menemukan tulang haiwan dan beberapa genggam tanah yang dipercayai tanah kubur di pintu belakang kedai. Sambil menunjukkan bukti sihir kepada Abu dan Nura, Haji Jalal berpesan supaya cuma bergantung harap kepada Allah sahaja. Biarkan Tuhan sahaja yang membalas.


Certot : Cerpen Kontot



Certot : Kenapa Tak Sama ?

Assalamualaikum dan salam sejahtera 



“Tak boleh bahagikan sama rata ke?” tanya mak long.

“Yalah. Adik-beradik kita bukannya ramai mana pun,” sokong mak ngah. 

Ayah aku geleng kepala. Kubur Tok Ki masih merah, mereka sudah duduk berbincang tentang harta pusaka. 

“Kita kena ikut faraid, kak long, kak ngah.” Lembut suara ayah memujuk. 

Mak ngah yang sudah lapan kali naik haji itu menjeling ayah. “Alah… kau nak ikut faraid sebab nanti bahagian kau dapat banyak kan?”

“Astaghfirullah al-Azim… apa kak ngah cakap ni? Bukan kita bertiga je yang berhak atas harta arwah ayah. Ada orang lain. Atuk kita hidup lagi. Dia juga berhak atas harta ayah.”

Ya, moyang aku masih hidup lagi. Sedang duduk diam memandang ke luar jendela. Mungkin juga sedang memasang telinga mendengar pertengkaran ini.

“Dah, dah, jangan nak gaduh. Kita bahagi empat,” celah mak long.

“Tak boleh, kak long….” Ayah berkeras. 

Mereka terus berbalah. Aku yang memerhati dari jauh terfikir sesuatu. Mak long dan mak ngah itu bukanlah orang yang buta agama. Mereka tahu agama. Malah, boleh dikategorikan sebagai agak warak. Kalau hukum lain-lain dalam agama seperti puasa dan solat boleh kita taati dengan baik, tetapi kenapa hukum faraid mahu kita langgar? Ia juga hukum Tuhan, bukan?



Certot : Maaf

 Assalamualaikum dan salam sejahtera 

Certot : Maaf

Manisnya sudah hilang. Senyumnya juga sudah lama mati. Tuhan, bagaimana mahu berpura-pura terlihat bahagia sedang hati menjerit benci, jiwa merobek dendam?

Dendam. Ya, dendam. Lukanya sudah pulih, namun parut kian berdarah seiring waktu berputar pergi.

Segalanya gelap-gelita sama seperti hatinya. Tiada ruang, tiada jalan, hatta secebis peluang demi sebuah kemaafan. Hatinya hancur lumat. Tiada cara untuk merawat kembali. Yang ada hanya berambus, berambus daripada mata aku.

Nyah daripada segala sudut dan pandangan mata ini. Jangan biar diri ini kian membenci dan terus menanam api dendam kerana sekali diacuh selamanya terbakar.

Nilai kemaafan terlalu besar sehingga tidak ternilai dan tidak tercapai dek jiwa untuk membayarnya. Bukan tidak mampu, tetapi memilih untuk tidak mahu.

Memaafkan adalah hak seseorang. Hak setiap manusia. Hak individu.terpulang kepada dia mahu memaafkan atau menanam benci. Tiada yang salah kerana segala perhitungan yang terzalimi akan tetap diadili.


Certot : Resepi Tiktok

 Assalamualaikum dan salam sejahtera 


Certot : Resepi Tiktok Gita baru kehilangan kedua ibu bapanya. Ada adik-adik yang perlu diurus. Memandangkan ibu dan bapanya merupakan sama-sama yatim piatu yang membesar di rumah anak yatim, mereka tiada saudara. Hanya Gita dan adik-adiknya sahaja di dunia ini. Untuk itu, dia perlu kuat. 

“Kakak… lapar.” Adik bongsunya yang berusia lapan tahun merengek. 

Walaupun sudah berusia 18 tahun, tidak banyak jenis masakan yang Gita tahu masak. Setakat nasi, telur goreng, nasi goreng kicap itu dia tahulah. Lebih-lebih, dia tak reti. Takkanlah mereka adik-beradik nak makan itu sahaja setiap hari? 

Gita mencari idea masakan ringkas yang boleh dia buat di TikTok. Puas membelek, dia temukan satu menu pasta yang cukup ringkas dan tak banyak bahan. Berbekalkan wang simpanan orang tuanya yang masih tersisa sementara Gita mencari kerja, dia ke kedai membeli bahan. 

Setelah pulang, dia masak hidangan itu dan adik-adiknya makan dengan sangat lahap. Hari berganti hari, Gita semakin bersemangat untuk mencuba menu lain. Semuanya dia belajar daripada TikTok. Bukan itu sahaja, Gita juga ada menjual makanan yang dia masak ke dalam grup WhatsApp kejiranan serta rakan-rakan di tempat kerjanya. 

Hal yang pada mulanya Gita pelajari hanya untuk bertahan hidup, kini menjadi antara penyumbang kepada pendapatan keluarganya. Walaupun Gita tak dapat meneruskan pelajaran kerana ingin membesarkan adik-adiknya, tapi dia seronok melakukan kerja-kerja ini. Moga suatu hari nanti, di kala semua adiknya sudah besar, Gita melihat kepada detik ini dan berkata kepada dirinya sendiri, “Kau kuat!”



Certot : Asam Keping

 Assalamualaikum dan salam sejahtera 


Certot : Asam Keping

“Mak su! Mak su!” jerit Tikah di dapur.

Mak su yang sedang menyapu di luar rumah berlari dengan berkain batik ke dapur.

“Kenapa, Tikah? Terbakar ke?” soalnya cemas.

“Ikan ni meletup, mak su! Tolong!” jerit Tikah lagi. Tangan kanan memegang sudip besi, di tangan kiri pula memegang pingan kaca sebagai perisai.

Mak su tanpa basa-basi terus menutup api dapur.Minyak di dalam kuali perlahan-lahan berhenti meletup.

“Fuh! Terima kasih, mak su. kalau tidak tadi memang saya dah kena bunuh dengan minyak ni!”

Mak su menggelengkan kepalanya mendengar celoteh anak saudaranya itu.


“Tikah lupa ya apa yang mak su beritahu semalam?” Tangan mak su lantas mencapai sebalang asam keping. Dibukanya balang tersebut dan mengambil sekeping asam keping, lalu dimasukkan ke dalam kuali gorengan ikan keli tadi.

“Asam keping ni boleh kurangkan letupan minyak dan tak nak bagi ikan atau ayam melekat dekat kuali. Maklumlah kuali opah kamu tu dah berkurun. Tak pernah nak ditukar baru.”


Tikah hanya mendengar dengan tekun.

“Baik, mak su. Lain kali saya janji takkan lupa masukkan sekali asam keping setiap kali nak goreng ikan!” Tikah mengambil tempat di meja makan.


“Yang helmet dekat kepala kamu tu untuk apa?”

Mak su mengetuk helmet yang dipakai Tikah.

“Hehe, untuk keselamatan wajah cantik saya ni, mak su,” balas Tikah seraya membuka helmet tok wannya.

“Ada-ada sajalah kamu ni, Tikah.”


Certot : Minyak Masak Peket

 Assalamualaikum dan salam sejahtera 

Certot : Minyak Masak Peket Berlarian kami berdua masuk ke sebuah kedai serbaneka apabila ternampak beberapa pembeli keluar dari situ sambil membimbit plastik jernih yang berisi minyak masak peket. Sayangnya, apabila  menuju ke rak yang biasa diletakkan stok tersebut, tinggal kotak kosong sahaja. Suamiku menggoyangkan pergelangan tangannya, tanda dah habis.

“Tak apalah, bukan rezeki,” kataku yang sedang menggendong Arif, bayi kami yang berusia 20 bulan.

Kami meneruskan agenda mencari sedikit barang dapur dan sudah semestinya, minyak masak peket juga termasuk di dalam senarai. Yalah, kami ini berstatus B40. Layak membeli barangan subsidi kerajaan yang semakin lama semakin tipis stoknya di pasaran.

Suamiku beratur untuk membayar barangan yang dibeli. Sementara aku pula, masih lagi memilih roti krim Gardenia di atas para. Aku bercadang untuk membayarnya menggunakan wang yang ditebus daripada program e-Madani melalui aplikasi Touch ‘n Go.

Ketika berurusan di kaunter bayaran, aku melihat sepasang suami isteri beratur di belakang aku sambil menjinjing dua peket minyak masak.

“Maaf, ambil di mana? Tadi saya pergi, dah habis,” tanyaku.

“Saya jumpa di belakang sana, tapi bukan dekat rak biasa. Letaknya di celah-celah barang,” jawab si isteri.

Certot

Tiba-tiba, staf di kaunter, seorang gadis muda yang sedang membungkus roti bertanya, “Kakak nak minyak peket ke? Di kaunter ni ada satu peket lagi.”

Terus aku mengangguk. Rasa berbunga hati ini apabila melihat bungkusan minyak yang dibawa keluar dari bawah meja kaunter. Jadilah… daripada tak ada langsung. Stok di rumah pun dah susut benar.

“Begini, kakak. Tadi ada ramai orang Bangladesh beratur untuk beli minyak masak ni. Seorang ambil dua peket. Bos saya dah pesan, jangan dijual kepada mereka. Tu yang satu peket ni tersadai di kaunter. Yang dua peket tu dari kawan dia yang beratur sama,” panjang lebar gadis tu menerangkan.

Aku mengucapkan terima kasih dan membayar barang yang dibeli tadi.

“Alhamdulillah, baguslah begini. Barangan subsidi tidak seharusnya dinikmati oleh warga asing. Kita ni nak jumpa pun susah. Senang-senang saja warga asing yang dapat,” kata suami wanita tadi.

Benar sangat apa yang dikatakan itu. Bukan kami menidakkan rezeki mereka, tetapi kawalan barangan subsidi haruslah lebih ketat kerana ia adalah hak rakyat Malaysia yang membayar cukai. Syabas! Semoga lebih banyak lagi kedai yang serius menjaga hak rakyat Malaysia daripada dimonopoli oleh warga asing.



Certot : Keluarga Jagung

 Assalamualaikum dan salam sejahtera


Certot : Keluarga Jagung

Pak Ilman dan isterinya, Mak Amna merupakan pengusaha jagung dan mempunyai empat orang anak. Aman, Amani, Iman dan Imanina.

Aman mempunyai ladang ternakan ayam. Makanan untuk ayam-ayamnya diperbuat daripada jagung milik Pak Ilman dan Mak Amna.

Amani sangat pandai memasak. Amani sudah terbiasa memasak pelbagai makanan menggunakan jagung sebagai bahan utama. Dengan kelebihannya itu, Amani membuka gerai makan di lokasi strategik. Menu istimewa gerainya ialah nasi goreng jagung.

Iman pula seorang penggemar air jagung. Disebabkan dia menggemarinya, Iman membuka gerai air jagung dan perniagaannya kini telah mempunyai banyak cawangan.

Imani seorang pempengaruh terkenal di media sosial. Imani selalu membuat rakaman dan perkongsian mengenai ladang jagung serta kegiatan adik-beradiknya berkaitan jagung. Video-video yang dihasilkan Imani semuanya terlihat menarik memandangkan dia ialah pelajar jurusan Multimedia Kreatif.

Hasil kerjasama adik-beradik, mereka berjaya mencipta sebuah perniagaan yang maju dan terkenal dengan nama Keluarga Jagung. Hanya dengan jagung, mereka bukan sahaja berjaya memperoleh pendapatan, tetapi juga membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.



Certot : Cicak

 Assalamualaikum dan salam sejahtera 

Certot : Cicak

“Aduh, laparnya….”

Aku menggosok-gosok perut yang berbunyi. Itulah… kawan-kawan ajak makan, aku buat tak kisah sahaja. Maklumlah, makanan di asrama ini bukannya sedap sangat. Menu pun sama sahaja setiap hari.

Aku pun mula membuka almari. Mujurlah mak membekalkan aku banyak makanan seperti mi segera, susu segar dan Koko Krunch.

“Ahh… malaslah nak basuh cawan. Lagipun, cawan ni bersih lagi.” Aku monolog sendiri.

Aku ambil Koko Krunch dan tuangkan ke dalam cawan.

Tak semena-mena, ada bunyi aneh sewaktu aku hendak meletakkan susu segar. Seperti ada yang bergerak-gerak di dalam cawanku.

“Kak Sya!” panggilku sedikit kuat.

Terpaksa aku seru dia kuat-kuat. Aku dah tahu rutin dia malam-malam begini. Menelaah pelajaran sambil mendengar radio menggunakan earphone. Kalau aku panggil dia lembut-lembut, dia takkan dengar.


“Apa?”

“Sini kejap,” panggilku dengan perasaan cemas.

“Ada apa?” tanyanya, lalu berdiri di sebelahku.




“Akak boleh tolong tengok tak ada apa dalam cawan ni? Saya rasa ada benda bergerak dalam tu,” kataku dan cepat-cepat menghulurkan cawan itu kepada Kak Sya.

Gadis itu teragak-agak nak ambil. Aku rasa dia pun takut nak tengok apa yang ada di dalam tu.

Sememangnya Kak Sya ini ditugaskan untuk menjaga kami yang OKU penglihatan ini. Namun begitu, Kak Sya pun OKU penglihatan juga seperti aku dan rakan-rakan yang lain. Cumanya, mata dia terang banyaklah daripada kami.

“Wei!”

“Ha, ada apa? Ada apa?” tanyaku cemas.

“Ada cicak! Arghhh!” Spontan dia melempar cawan yang berada di tangannya.

Aku pun apa lagi, tak peduli dengan Koko Krunch yang berterabur sana sini, terus memanjat katil kawan sebelah.

“Wei, cicak!”

Dah… tak pasal-pasal satu bilik menjerit. Masalahnya, cicak tu di mana sekarang? Masing-masing takut nak tengok bawah.

Satu lagi masalah, siapa pula yang nak sapu Koko Krunch yang berterabur tu?

Err… malas nak fikir!


Certot : Perangkap Tikus

Assalamualaikum dan salam sejahtera 


Certot : Perangkap Tikus Tiada angin, tiada ribut, Shuib dikejutkan dengan kehadiran adiknya, Shafwan, yang pulang dari Amerika bersama kawan berbangsa Inggeris beberapa hari yang lepas.


“Hai, along! A… ape kabaru?” Richard menyapa Shuib di tangga rumah.

“Kabaru? Ah… Kabaru-kabaru. Hehe,” balas Shuib tersengih-sengih.

“What are you doing, along?” Richard menunjukkan jari manisnya ke arah perangkap tikus di tangan Shuib.

“Oh, ini perangkap tikus.”

“Peranke… what?”

“Perangkap tikus. Pe… rang… kap!” Shuib cuba memahamkan RIchard yang terlihat blur.

“Prank?” teka Richard.


“Bunyi nak sama dah tu! Yes, yes! Prank! Kita… nak pergi prank the mickey mouse!” jelas Shuib sambil menunjukkan demo menangkap tikus dengan bersemangat.


“Oh, that sounds fun!”

“Yeah, fun! Mickey mouse fun, the kucing pun fun! Dapat makan mickey! Jom!” Shuib terlihat gembira apabila dia dan Richard dapat berkomunikasi dengan baik.


Mereka berdua pun mula memasang perangkap tikus di belakang rumah. Selesai meletakkan ikan kering di dalam sangkar, Shuib melihat Richard yang tiba-tiba bersila di sebelah perangkap tersebut.

Richard membuat wajah kelakar. Shuib jadi pelik.

“Eh, dah kenapa kawan Shafwan ni? Rosak ka?”


“Along! Richard!” Kedengaran suara Shafwan memanggil.

“Kami kat belakang!”

“Eh, Richard! What are you doing?” 

“Pranking the mouse.”

“Ha, along ajar dia cara guna perangkap tikus. Bahasa Inggeris dia prank kan?”


Shafwan ketawa terbahak-bahak mendengar jawapan Richard dan Shuib.

“No, Richard. Along here is trying to set a trap for the mouse. It’s not a prank. You both mixed the words.”

Richard membuat muka faham sambil tergaru-garu kepalanya menahan malu.

“Along. Bukan prank, tapi trap. Prank tu permainkan orang. Tak pasal-pasal Richard ni nak gempar tikus tu.”


“Lah, manalah along tahu! Bunyi sama! Haha!”



Certot : Mekap

Assalamualaikum dan salam sejahtera 

Certot : Mekap “Wah, Juli bersoleklah hari ni! Kau nampak lain. Kenapa tiba-tiba? Ada nak impress sesiapa ke?” Hani menyengol bahu Juli sambil mengangkat keningnya dua tiga kali. Senyuman nakal tersungging di bibir rakan sekerja Juli itu. 

“Tak adalah. Saja je. Nak bagi nampak yakin. Hahaha!” 



“Eleh! Ya ke? Cantik gincu kau. Dari jauh dah boleh nampak. Aku sukalah. Kau nampak kemas dan bersiap berbanding selalu. Tapi, aku tetap tak percaya kau tiba-tiba bersolek untuk diri kau. Mesti ada sesuatu ni kan? Ceritalah siapa orang tu? Jabatan mana?” Hani tidak mahu mengalah. 

Juli menggelengkan kepala sambil menepuk bahu Hani. Dia ketawa melayan kerenah Hani yang boleh tahan kepoh itu. Dia berlalu ke meja kerja diikuti Hani yang terus-terus mengasaknya dengan bermacam-macam soalan. 

Waktu rehat, Juli ke tandas untuk berwuduk. Segala solekan dia cuci bersih. Selesai berwuduk, Juli cepat-cepat mengenakan mekap semula sebelum keluar dari bilik air. Selesai solat dan berdoa, sekali lagi dia memeriksa solekannya di cermin. 

“Ya, Hani. Aku memang buat semua ni untuk diri aku. Aku tak nak kau orang tanya kenapa aku nampak pucat. Aku tak nak cakap yang aku sakit. Aku sihat dan aku akan sihat. Bila aku dah betul-betul sihat nanti, baru aku cerita dekat kau orang ya. Maafkan aku,” bisik Juli sambil melihat pantulan wajahnya pada cermin.


Certot : Pisang Buruk Di Dalam Peti

 Assalamualaikum dan salam sejahtera 

Certot : Pisang Buruk Di Dalam Peti Ketika Puan Sahira melayari laman Mr. Google mengenai lempeng pisang, kek pisang dan kek pisang coklat moist, dia teringat pula pada pisang yang banyak di dalam peti ais. Terus dia  memanggil anak perempuannya.


“Ainul… pisang banyak dalam peti ais ni, kita nak buat apa?”

“Sekejap, Ainul fikir. Hmm… mama buatlah kek pisang coklat moist tu. Nampak macam sedap.”

“Eh, bila kamu tengok?”

“Hari tu mama tunjuk.”

Mendengar permintaan anaknya hendak makan kek pisang coklat moist, Puan Sahira pun mengangguk setuju. Riang hati Ainul hari ini.

Setelah mengambil pisang di dalam peti ais, Puan Sahira terkejut melihat pisang tersebut sudah hitam dan buruk. Puas dia memerah otak untuk memenuhi keinginan Ainul. Tanpa membilang masa, Puan Sahira mengadun bahan yang sedikit itu dengan semangkuk kesungguhan dan kasih sayang. Satu rumah bau kek yang semerbak itu.

“Ainul, kek dah siap. Kek kecil sebab pisang dah banyak rosak.”

“Tak apa, mama. Terima kasih, mama. Sedapnya!”

Puan Sahira tersenyum lebar.



Certot : Hormat

 Assalamualaikum dan salam sejahtera 

Certot : Hormat 



Seorang petugas pembersihan sedang tekun mengemop lantai di sebuah syarikat besar. Tiba-tiba seorang eksekutif yang baru bekerja di situ memijak lantai tersebut, walaupun telah diletakkan papan tanda.

“Encik, jangan pijak. Lantai tu licin. Nanti jatuh,” tegur si petugas pembersihan.

“Siapa suruh awak mop di sini? Saya nak lalu mana?” soal eksekutif lelaki yang memakai kot itu dengan sombong.

“Encik kan boleh lalu kat sana,” jawab petugas pembersihan tersebut seraya menunjuk ke arah lantai yang sudah kering tidak jauh dari situ dengan sopan.

“Saya nak cepat. Awak siapa nak arah-arah saya? Tak tahu hormat orang,” perli lelaki sombong itu dengan nada marah.

“Encik, hormat itu bukan diminta, tapi diberi. Kita hormat orang, orang akan hormat kita,” balas petugas pembersihan tersebut dengan sinis.

Eksekutif sombong itu terus terdiam mendengar kata-kata yang menusuk hati daripada seorang petugas pembersihan. Kemudian, dia terus beredar dengan rasa terpukul dan malu. Apatah lagi, kejadian tersebut turut disaksikan oleh orang di sekitar mereka.


Certot : 'Alakarte'

Assalamualaikum dan salam sejahtera 


Certot : 'Alakarte' Aku ada seorang kawan. Dia memang tak suka keluar jalan-jalan, apatah lagi keluar makan-makan di restoran makanan segera. Kalau nak ajak dia keluar, kena ada kerja atau senang cerita ada urusan yang bermanfaat. Macam tu, baru dia keluar. 

Suatu hari tu, selepas kami selesai melawat tapak untuk projek fakulti, mahu tak mahu, dia terpaksa ikut sekali makan di luar. Masa tu dah lewat. Perut pun dah lapar tak berisi sejak pagi. Aku perasan, dia macam tak berapa senang bila kami masuk ke restoran makanan segera. Kebiasaannya, kami makan di mamak sahaja. Kali ni, majoriti memilih makanan segera. Aku rasa dia cuak sebab tak biasa. Sebab kasihan tengok dia, aku tawarkan bantuan. 

Certot


“Kau nak aku tolong oderkan ke?”

“Hah… boleh juga.”

“Kau tengoklah menu tu. Kau nak yang mana. Aku belikan sekali.”

Dia pun tengok-tengok menu, “Hah… burger yang tu kut. Tapi, aku tak nak air. Aku dah ada air.”

Aku tengok burger yang dia tunjuk. Burger ikan. 

“Kau tak nak air. Fries nak tak?”

Dia menggeleng, “Cukup burger je.”

“Oh, ‘alakarte-lah’ ya?”

“Hah? Tak, tak… aku nak burger. Tak nak benda lain.”

“Ya, burger tapi ‘alakarte’.”

“Tak faham.”

“‘Alakarte’ tu istilah untuk oder satu jenis makanan je. Bukan dalam set. Hah, kau tengok kat menu tu kan dah dibuat dalam set-set yang ada air, ada fries. Kalau dalam set harganya lebih murah. Tapi, kalau ‘alakarte’, single dish order. Burger je macam yang kau nak.  Tak ada air, tak ada fries.”

“Oh, okey.” Dia mengangguk-angguk.

Esoknya, dia oder sendiri. Aku terkejut bila dia sebut ‘ala carte’ tu ikut sebutan aku. Muka dia merah bila sedar sebutan tu salah.

“Kenapa kau main-mainkan aku?” katanya dengan suara sedih.

“Ya Allah, Jo. Serius, aku minta maaf. Tak terniat pun nak main-mainkan kau. Aku… aku… memang sebut macam tu. Tapi kalau masa oder, aku taklah sebut begitu. Sorry, bro. Kau tahu aku macam mana, kan? Banyak bahasa asing yang aku bakukan.”

“Tak apalah. Salah aku. Tak bercampur dan takut nak hadap benda baharu. Aku kena banyak keluar dan bercampur. Tak pernah tahu istilah dan sebutannya. Tapi, macam sedap juga sebut ‘alakarte’ tu.” Dia gelak.

Lega sikit hati aku. ‘Alakarte’ pun boleh!


Certot : Lemon

Assalamualaikum dan salam sejahtera 

Certot : Lemon Adik aku ni badannya besar. Bagi aku, dia taklah besar sangat pun. Tapi mungkin sebab hari tu dia balik rumah menangis-nangis kena ejek dengan kawan sekelas, dia pun berazam nak kurus. Ada satu malam tu, aku nampak dia makan lemon. MAKAN! Bukan minum jus lemon. Dia potong nipis-nipis dan gigit lemon tu macam tak ada perasaan. Aku yang tengok sahaja pun terasa masamnya sampai ke hujung lidah.



“Dik! Kenapa kau makan macam tu? Tak masam ke?”

Dengan wajah tak beriak, adik aku jawab, “Orang cakap makan lemon boleh kurus. Masam, tapi beauty is pain….”

Parah! Dia betul-betul terpukul dengan ejekan kawan-kawannya tu. 

“Kau tak adalah gemuk sangat, dik. Tak payahlah dengar cakap kawan-kawan kau tu.”

“Tapi adik nak kurus….”

Aku peluk bahunya. Aku gosok-gosok rambutnya yang seperti sabut kelapa itu. Tak tahu nak pujuk macam mana lagi, aku bawa diri ke dalam bilik. 

Besoknya, aku nampak adik keluar masuk tandas. Sampaikan ibu tak benarkan dia pergi sekolah. Dibuatnya tercirit dalam kelas, lagi parah. Aku lihat dia yang sedang terdampar di atas sofa ruang tamu. 

“Kak… adik dah tak nak kurus.”

Ketawa terbahak-bahak aku dibuatnya. Penangan lemon memang hebat. Mana dia belajar makan lemon boleh kuruskan badan pun aku tak tahulah.


Certot : Tempat Kita

Assalamualaikum dan salam sejahtera 


Certot : Tempat Kita  Ketika masih kecil, ayah ada buatkan rumah di atas pokok. Ayah aku itu kerjanya memang tukang kayu. Banyaklah sisa-sisa papan yang dia ada. Rumah pokok itu letaknya di laman belakang. Di situlah aku selalu menghabiskan masa ketika cuti. Tak kira pagi, tengah hari, atau petang, aku di situ. Melukis, menulis, dan bermain dengan adik-beradik yang lain.

Tiap kali waktu makan, ibu akan panggil kami ke masuk ke rumah. Tapi kadangkala, waktu minum petang terutamanya, ibu dan ayah akan turut menikmati hidangan di bawah rumah pokok kami. Berbual dan bergurau senda tentang pelbagai perkara. Bukan itu sahaja, jika aku merajuk atau marah dengan ibu dan ayah, di sinilah aku akan bersembunyi. 

Ayah memang pernah beritahu yang rumah itu semacam ruang untuk aku dan adik-adik yang lain bertenang. Ruang rahsia kanak-kanak. Tiada orang dewasa dibenarkan masuk tanpa izin. Bila difikirkan semula, ayah memang bijak. Sebab kami ada rumah pokok itu, aku dan adik-adik tak pernah lari rumah atau pergi ke rumah kawan tiap kali kami bertekak. Ayah dan ibu tahu kami selamat di situ. 



Tapi… rumah pokok itu tak kekal dengan kami selamanya. Kerana masalah kewangan, ayah terpaksa menjual rumah kami. Rumah baru kami tiada laman, tapi ia lebih ‘muat’ buat dompet ayah. Kami tinggalkan rumah pokok itu dengan berat hati.

Kini, kami sudah besar. Pernah sekali, aku ke kawasan rumah lama kami atas urusan kerja. Melalui jalan utama, aku dapat melihat laman belakang rumah lama itu. Di situ, aku melihat rumah pokok yang ayah bina dulu masih berdiri kukuh. Siap di tambah buaian pada salah satu dahan pokoknya. Beberapa orang kanak-kanak sedang berlari riang di laman itu. Seorang budak lelaki bertopi lanun melaung kepada yang di bawah, “Kapal ini aku yang punya!”

Aku hanya mampu senyum. Rasa rindu dan berat yang meladung hati hilang dibawa pawana. Aku bersyukur rumah pokok itu masih dihargai. Benar, aku membesar. Rumah pokok itu masih di situ. Menanti jiwa-jiwa muda untuk mengisi cerita dengannya. The kids deserve it better.


Certot : Lukisan Buku Latihan

 Assalamualaikum dan salam sejahtera

Certot : Lukisan Buku Latihan"Hah, tidur!” Aku menepuk mejanya dengan kuat. Tersentak badan Ahmad, lantas dia duduk dengan tegak. Dia mengesat mulutnya yang dibasahi air liur basi. Buku latihannya juga habis dibasahi air busuk itu. 

Certot

“Mana ada, cikgu. Saya terlelap je,” balas Ahmad perlahan.

“Sampai basah buku tu awak kata terlelap. Entah-entah dah sampai Afrika mimpinya.” 

Ahmad yang baru perasan segera mengelap buku itu. 

“Latihan dah siap belum?”

“Belum.”

“Hah, siapkan!”


Tamat sahaja kelas itu, aku terus mengumpul buku latihan para pelajar lalu bergerak ke bilik guru. Buku-buku itu aku tanda satu per satu. Sampai ke buku Ahmad aku jadi geli nak buka bila mengenangkan air liur dia yang kolam tadi tu. Aku gagahkan juga sebab ini adalah tanggungjawab seorang guru untuk menanda latihan pelajar. 

Disebabkan basahnya bahagian depan, aku buka dari belakang. Selak sahaja kulit belakang, aku nampak lukisan yang sangat cantik. Gambar aku tengah mengajar. Umum tahu Ahmad bukanlah pelajar pintar, tapi aku terkagum-kagum melihat hasil seni Ahmad. 

Keesokannya aku panggil Ahmad sebelum perhimpunan pagi bermula dan katakan kepadanya, “Mad, kamu nak tak kalau cikgu sponsor kamu masuk kelas seni?”

Laju Ahmad mengangguk. Sejak itu bermulalah perjalanan hidup Ahmad dalam bidang seni. 

15 tahun kemudian, aku adalah orang pertama yang Ahmad cari setelah dia pulang dari luar negara untuk pameran antarabangsanya yang pertama. Ahmad itu sudah senang sekarang. Dan aku tumpang berbahagia untuknya.



Certot : Teknologi Canggih VS Orang Lama

Assalamualaikum dan salam sejahtera 


Certot : Teknologi Canggih VS Orang Lama Dr. Norizan merupakan seorang pensyarah di salah sebuah universiti awam. Beliau cukup berpengalaman dalam bidang Polisi dan Kemapanan Alam Sekitar. Proses mengajar kini cukup berbeza berbanding dahulu. Perlu mahir menggunakan teknologi seperti peranti digital dan aplikasi yang berbagai-bagai namanya.

Certot, cerita ringkas, cerita kontot , cerita pendek


“Susah betul nak siapkan bahan mengajar dan video animasi digital sekarang ni. Orang tua manalah pandai nak bermain dengan teknologi ni. Dah macam kena pakai kanta pembesar nak cari semua aplikasi,” rungut Dr. Norizan dalam pejabatnya.

Datang seorang pelajarnya menghantar laporan tesis. 

“Kenapa, prof?” Itu panggilan yang biasa digunakan oleh para pelajar ketika berbicara dengannya.

“Saya nak siapkan video animasi tentang alam sekitar untuk kuliah nanti. Dah setengah jam membelek cari setiap tools ni. Saya tak pandai. Kamu boleh tolong saya?” 

“Boleh, prof,” jawab si pelajar tanpa menolak permintaan guru penyuluh hidupnya itu.

“Dah siap, prof.”

“Cepatnya!”

Orang muda sememangnya mahir membelek aplikasi video animasi seperti ini. Zaman orang tua sepertinya dahulu, hanya perlu tulis di plastik lut sinar, diletakkan pada alat khas, tekan suis lampu, keluarlah imejnya di skrin depan. Teknologi sangat laju berkembang.


Certot : Surat Buat Atikah

 Assalamualaikum dan salam sejahtera 

Certot : Surat Buat Atikah  Cikgu Fauziah memasuki kelas 1 Bestari untuk sesi pembelajaran selepas waktu rehat tamat. Di dalam kelas, dia perasan akan seorang budak lelaki yang tidak keluar rehat. Cikgu Fauziah menegur budak berbaju sukan yang sedang menulis sesuatu di atas muka surat terakhir buku tulisnya.

“Putra, dah makan belum?”

Putra hanya mengangguk. Cikgu Fauziah cuba menjenguk apa yang ditulis Putra.

“Cikgu, boleh tolong saya?” tanya Putra sambil mengoyak kertas dari bukunya.

“Tolong bagi dekat Atikah kelas 1 Ceria.” Cebisan kertas yang telah dilipat diberikan kepada cikgu Pendidikan Seni tersebut.

Certot


Cikgu Fauziah mengambil kertas itu tanpa sebarang kata. Putra mengucapkan terima kasih, lalu berlari ke luar kelas.

Cikgu Fauziah membuka kertas tersebut dan membaca satu ayat panjang yang tertera.

“Di kubur ada hantu, di istana ada raja, di hatiku ada kamu. Atikah, I looove U!” Cikgu Fauziah terus ketawa sambil memegang perutnya yang sedikit buncit.

“Romantiknya budak sekarang. Kenapalah aku tak terfikir nak buat macam ni dulu? Tak adalah aku membujang sampai sekarang….”

Ketawanya mati apabila mengenangkan dirinya yang masih bujang itu. Dia terus ke kelas sebelah untuk mencari Atikah.


p/s : Certot ringkasan kepada cerita kontot @ cerita pendek 



Certot : Bertenang

 Assalamualaikum dan salam sejahtera 


Certot : Bertenang Emosi Fifi berkecamuk. Dia tak tahu sama ada dia patut menangis atau menjerit atau marah hari ini. Semuanya serba tak kena. Dari pagi lagi dia sudah tertinggal bas, terpaksa dia memesan Grab. Melayang wangnya. Sampai ke kelas pula, pintu sudah terkunci. Dia hanya terlambat lima minit. Kemudian, dia membawa diri ke perpustakaan dengan hasrat mahu menyiapkan assignment. Pengecas komputer pula tak bawa. Bateri komputer sudah nyawa-nyawa ikan. 

Kekasih hatinya, Farhan tiba-tiba minta putus. Tanpa sebarang penjelasan. Sebelum pulang, Fifi singgah sebentar di mesin layan diri untuk mendapatkan air. Tekaknya haus, dia penat mental, emosi, sekali gus fizikal. Setelah duit dimasukkan dan butang dipicit, mesin yang sudah beberapa dekad ada di situ mula berkeriuk. Sebotol air mineral dingin ditolak perlahan sebelum… TERSANGKUT! 

Certot, cerita pendek, cerita ringkas

Fifi tak tahu nak kata apa lagi. Mesin ‘gedegang’ pun tidak mahu bekerjasama dengannya hari ini. Entah apa yang merasuki Fifi, laju sahaja tangannya dilayangkan dan mesin itu menjadi mangsa dia melampiaskan amarahnya. Sedang dia hanyut dibawa amarah, tiba-tiba tangan Fifi ditahan seseorang. 

“Tersangkut?” tanya seorang gadis seumuran dengannya yang memakai kot dan seluar slack itu. Kepalanya terlilit tudung hitam yang kemas. Fifi angguk. Gadis itu tunduk dan menolak pintu mesin tadi beberapa kali. Air mineral Fifi tergolek jatuh dengan sendirinya. Gadis itu hulurkan air Fifi. 

“Bad day, isn’t it?” Dia menekan butang soda dan tin itu jatuh dengan mudah.

Fifi angguk. 

“Bertenang. Ia akan membaik nanti. Nak minum?”

Mereka berdua duduk di tepi longkang depan mesin layan diri itu. Tak berkata apa, hanya minum. Perlahan-lahan, radang di hati Fifi mereda. 

Kadang-kadang, kalau perkara yang kita nak tu tak berjalan seperti yang kita inginkan, itu tandanya kita kena berhenti, bertenang, tak buat apa-apa, dan buat semula pelan-pelan,” kata gadis itu. 

Fifi angguk setuju. Betul. Itu yang dia kena buat sekarang. Bertenang.


Certot : Gerai Pau Jam Sepuluh

 Assalamualaikum dan salam sejahtera 

Certot : Gerai Pau Jam Sepuluh Sebuah gerai yang hanya menjual pau. Gerai itu hanya dibuka pada jam sepuluh malam hingga tengah malam. Gerai ini pernah tular dahulu, tapi sekarang popularitinya merundum. Mungkin kerana kalah bersaing pada zaman serba canggih ini. Pemiliknya pula hanya seorang lelaki tua yang sentiasa bertopi dan berkemeja putih. Bukan pemuda tampan atau Khairulaming. 

Certot, cerita Kontot, cerita pendek

Satu malam, Raihan pulang setelah penat dimarahi majikannya hari itu. Perutnya lapar, tapi dia tak ada tenaga nak masak atau makan makanan berat. Ke gerai itulah dia tuju dengan pakaiannya yang kusut-masai. Dia duduk di salah sebuah kerusi yang disediakan berdekatan dengan payung gerai itu. 

Raihan tak tempah apa-apa lagi, sebiji pau panas dihulurkan kepadanya. Orang tua itu memandang Raihan dalam senyum seraya berkata, “Inti kacang merah. Rasa manisnya akan hilangkan kesedihan kamu. Tak payah bayar. Kamu pelanggan terakhir saya hari ni. Saya nak balik dah.”

Raihan berterima kasih dengan senyuman lemah. Apa yang orang tua ini mengerti? Di gigitan pertama, Raihan terkedu. Manis…. Manis yang mengingatkan dia akan waktu pertama kali dia diterima bekerja. Juga waktu-waktu dia bersama rakan-rakan sekerja serta momen-momen mereka berjaya mendapatkan projek. Ya, kesedihan ini hanya sementara. Tiada yang sentiasa di atas. Kadangkala, dia perlu jatuh untuk tahu apa yang tidak patut diulang lagi. Raihan pulang dengan semangat baru. 

Keesokan harinya, dia ke tempat kerja. Majikannya meminta maaf dan membelanjanya makan tengah hari. Mereka berbaik. Malam itu, Raihan sekali lagi mencari gerai pau yang memberinya semangat. Tiada. Lama dia mundar-mandir. Hinggalah dia ditegur seorang pemuda yang bekerja di kedai runcit berhampiran. 

“Eh, encik biar betul? Pak Cik Selamat yang jual pau pukul sepuluh tu kan? Dia dah sebulan lebih tak berniaga. Dia jatuh bilik air, terus tak sedar. Sekarang masih di hospital.”

Raihan tergamam. Pau apa yang dia makan? Siapa yang dia jumpa? Dia mencangkung seketika. Pemuda tadi setia di sisi. Pemuda itu tiba-tiba berkata lagi, “Sebenarnya… bukan encik seorang yang cari dia. Dah ramai yang cari dia macam encik. Ada yang makan pau daging, dia jadi berani lawan pembuli. Yang makan pau kelapa, berbaik semula dengan ahli keluarga. Saya tak tahu apa yang encik-encik semua ni nampak tapi… Pak Cik Selamat tu memang baik orangnya. Kita doakan yang baik-baik untuk dia.”