Assalamualaikum dan salam sejahtera
Certot : Minyak Masak Peket Berlarian kami berdua masuk ke sebuah kedai serbaneka apabila ternampak beberapa pembeli keluar dari situ sambil membimbit plastik jernih yang berisi minyak masak peket. Sayangnya, apabila menuju ke rak yang biasa diletakkan stok tersebut, tinggal kotak kosong sahaja. Suamiku menggoyangkan pergelangan tangannya, tanda dah habis.
“Tak apalah, bukan rezeki,” kataku yang sedang menggendong Arif, bayi kami yang berusia 20 bulan.
Kami meneruskan agenda mencari sedikit barang dapur dan sudah semestinya, minyak masak peket juga termasuk di dalam senarai. Yalah, kami ini berstatus B40. Layak membeli barangan subsidi kerajaan yang semakin lama semakin tipis stoknya di pasaran.
Suamiku beratur untuk membayar barangan yang dibeli. Sementara aku pula, masih lagi memilih roti krim Gardenia di atas para. Aku bercadang untuk membayarnya menggunakan wang yang ditebus daripada program e-Madani melalui aplikasi Touch ‘n Go.
Ketika berurusan di kaunter bayaran, aku melihat sepasang suami isteri beratur di belakang aku sambil menjinjing dua peket minyak masak.
“Maaf, ambil di mana? Tadi saya pergi, dah habis,” tanyaku.
“Saya jumpa di belakang sana, tapi bukan dekat rak biasa. Letaknya di celah-celah barang,” jawab si isteri.
Tiba-tiba, staf di kaunter, seorang gadis muda yang sedang membungkus roti bertanya, “Kakak nak minyak peket ke? Di kaunter ni ada satu peket lagi.”
Terus aku mengangguk. Rasa berbunga hati ini apabila melihat bungkusan minyak yang dibawa keluar dari bawah meja kaunter. Jadilah… daripada tak ada langsung. Stok di rumah pun dah susut benar.
“Begini, kakak. Tadi ada ramai orang Bangladesh beratur untuk beli minyak masak ni. Seorang ambil dua peket. Bos saya dah pesan, jangan dijual kepada mereka. Tu yang satu peket ni tersadai di kaunter. Yang dua peket tu dari kawan dia yang beratur sama,” panjang lebar gadis tu menerangkan.
Aku mengucapkan terima kasih dan membayar barang yang dibeli tadi.
“Alhamdulillah, baguslah begini. Barangan subsidi tidak seharusnya dinikmati oleh warga asing. Kita ni nak jumpa pun susah. Senang-senang saja warga asing yang dapat,” kata suami wanita tadi.
Benar sangat apa yang dikatakan itu. Bukan kami menidakkan rezeki mereka, tetapi kawalan barangan subsidi haruslah lebih ketat kerana ia adalah hak rakyat Malaysia yang membayar cukai. Syabas! Semoga lebih banyak lagi kedai yang serius menjaga hak rakyat Malaysia daripada dimonopoli oleh warga asing.
1 Ulasan
Betul tu..kita golongan B40 mmg memerlukan minyak paket kan..sebab tu hari2 sblom ni PZ pi Zemart beli minyak paket ni...buat stok...
BalasPadamtinggalkan komen anda kat sini. . InsyaAllah CikCappuccinoLatte akan sentiasa membalas kunjungan