Certot : Cicak

 Assalamualaikum dan salam sejahtera 

Certot : Cicak

“Aduh, laparnya….”

Aku menggosok-gosok perut yang berbunyi. Itulah… kawan-kawan ajak makan, aku buat tak kisah sahaja. Maklumlah, makanan di asrama ini bukannya sedap sangat. Menu pun sama sahaja setiap hari.

Aku pun mula membuka almari. Mujurlah mak membekalkan aku banyak makanan seperti mi segera, susu segar dan Koko Krunch.

“Ahh… malaslah nak basuh cawan. Lagipun, cawan ni bersih lagi.” Aku monolog sendiri.

Aku ambil Koko Krunch dan tuangkan ke dalam cawan.

Tak semena-mena, ada bunyi aneh sewaktu aku hendak meletakkan susu segar. Seperti ada yang bergerak-gerak di dalam cawanku.

“Kak Sya!” panggilku sedikit kuat.

Terpaksa aku seru dia kuat-kuat. Aku dah tahu rutin dia malam-malam begini. Menelaah pelajaran sambil mendengar radio menggunakan earphone. Kalau aku panggil dia lembut-lembut, dia takkan dengar.


“Apa?”

“Sini kejap,” panggilku dengan perasaan cemas.

“Ada apa?” tanyanya, lalu berdiri di sebelahku.




“Akak boleh tolong tengok tak ada apa dalam cawan ni? Saya rasa ada benda bergerak dalam tu,” kataku dan cepat-cepat menghulurkan cawan itu kepada Kak Sya.

Gadis itu teragak-agak nak ambil. Aku rasa dia pun takut nak tengok apa yang ada di dalam tu.

Sememangnya Kak Sya ini ditugaskan untuk menjaga kami yang OKU penglihatan ini. Namun begitu, Kak Sya pun OKU penglihatan juga seperti aku dan rakan-rakan yang lain. Cumanya, mata dia terang banyaklah daripada kami.

“Wei!”

“Ha, ada apa? Ada apa?” tanyaku cemas.

“Ada cicak! Arghhh!” Spontan dia melempar cawan yang berada di tangannya.

Aku pun apa lagi, tak peduli dengan Koko Krunch yang berterabur sana sini, terus memanjat katil kawan sebelah.

“Wei, cicak!”

Dah… tak pasal-pasal satu bilik menjerit. Masalahnya, cicak tu di mana sekarang? Masing-masing takut nak tengok bawah.

Satu lagi masalah, siapa pula yang nak sapu Koko Krunch yang berterabur tu?

Err… malas nak fikir!


Catat Ulasan

0 Ulasan