LETUPAN BOM TEMPAT PERDANA BN BERCERAMAH DI NIBONG..(PRU-13)








Ceramah perdana anjuran Barisan Nasional (BN) Parlimen Nibong Tebal di Jawi di sini malam tadi dikejutkan dengan insiden letupan mengakibatkan seorang petugas parti cedera.

Letupan berlaku pukul 10.15 malam di kawasan longgokan sampah terletak kira-kira 10 meter dari pentas utama berhampiran Bilik Gerakan Pilihan Raya BN Nibong Tebal.

Ketika kejadian, Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan sedang berucap di depan hampir 3,000 hadirin.




Turut hadir calon BN bagi Parlimen Nibong Tebal yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dan Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow.




Seorang pekerja parti berusia 35 tahun dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap kerana mendapat kecederaan di betis kanan akibat terkena serpihan paip plastik dan mangsa dirawat sebagai pesakit luar.

Pada 29 Mac lalu, tersebar risalah mengandungi cara untuk mewujudkan ketegangan oleh sebuah parti pembangkang di pusat-pusat mengundi di kawasan tertentu semasa pilihan raya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya percaya insiden letupan itu didalangi kumpulan profesional berikutan penemuan jerangkap letupan rekaan (IED) dalam bahan letupan.

"Siasatan polis mendapati letupan tersebut menggunakan dua IED yang dibungkus dan diletakkan dalam longgokan sampah di belakang pentas utama.



"Polis juga menemui satu lagi bahan IED yang kemudiannya diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom pada pukul 3 pagi ini," katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, motif kejadian adalah untuk menakutkan orang ramai bagi menimbulkan suasana huru-hara di kawasan ceramah.

Berikutan insiden itu, Abdul Rahim memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mewujudkan suasana tidak aman di negeri itu.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana keadaan keselamatan dan ketenteraman di negeri itu terkawal.

"Sebuah pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah telah ditubuhkan untuk menyiasat dan mengesan pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah berkenaan.

"Setakat ini, polis telah merekodkan keterangan daripada tujuh saksi yang berada di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6, Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman didenda RM10,000 dan penjara tujuh tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan...

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. selagi PRU 13 tak diselesaikan lagi mcm2 berita dan kejadian berlaku.Harapnya moga negara kita aman sentosa walau siapa pemerintahnya :)

    BalasPadam

tinggalkan komen anda kat sini. . InsyaAllah CikCappuccinoLatte akan sentiasa membalas kunjungan