Adnan Sempit naikkan nama Sam

Nama Shaheizy Sam, 31, mula dikenali ketika usia belasan tahun apabila menjayakan drama Pa’e hingga menerima dua pencalonan di Anugerah Skrin 1998.
Selepas Pa’e, Sam terus menyepi dan menumpukan perhatian pada pelajaran dan turut menubuh­kan kumpulan vokal, MOB bersama Sein Ruffedge, Shear Khan dan Haziman Ramli dan sempat merakam dua lagu, Foo dan Don't Cha Worry. 
Sam kembali ke pentas lakonan melalui projek filem indie arahan Woo Min Jing, The Son pada 2003 dan sejak 2006, Sam semakin aktif berlakon menerusi drama seperti Bisikan Hati, Elly, Noda Semalam dan Kasanova XXL.

Filem Adnan Sempit pada 2010 berjaya menaikkan nama Sam apabila filem arahan Ahmad Idham itu mendapat sambutan di panggung hingga dirinya dipilih peminat untuk Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010).

Kejayaan demi kejayaan diraih selepas itu apabila menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) kerana lakonan dalam Evolusi KL Drift 2 arahan Syamsul Yusof, kemudian pada 2011 diangkat Pelakon Lelaki Terbaik di FFM24 melalui filem Kongsi arahan Farid Kamil.

Anak bongsu dramatis Khaty Fudziah Musa dan bekas Timbalan Ketua Polis Negeri Selangor, Abdul Samad Jaaman itu diakui antara pelakon hebat tanah air. Nyata darah seni yang mengalir dalam diri ibu­nya serta kakak dan abangnya membuatkan Sam turut memilih bidang seni.

Abangnya, Jeff atau Ahmad Shah Al-Jeffry popular bersama kumpulan pop 1990-an, A to Z manakala kakaknya, Zizie Ezette juga pelakon terkenal. Seorang lagi abangnya, Samzy Fuzette turut mencuba nasib dalam seni manakala seorang lagi kakaknya, Jozieta Ronalie, tidak terbabit dalam bidang seni.

Sam kini mempertaruhkan lakonan terbarunya melalui Dua Kalimah berganding dengan Nora Danish yang ditayangkan di pawagam mulai Khamis lalu, manakala drama Kisah Cinta yang menggandingkannya dengan Fazura bakal disiarkan menerusi TV3 tidak lama lagi. 

Catat Ulasan

0 Ulasan